Saturday, March 20, 2010


Mesin Waktu
Karya Zacharia Abdulmanan

Roh datang dan pergi. Raung derita takkan putus meluah di jalan. Tapi saat burung bebas terbang di langit lazuardi kian mampir.

Dari rahim ibunda, perjuangan menjadi gunung berapi. Tuan sedang membangun inderaloka berpaling tak menoleh lagi.

Letus revolusi mencabar angkuh, sombong musuh pertiwi. Lalu tusukan merubah debar bermukimlah di peti mati. Badik menukar hari berpercik darah.

Tak tertangkap nama Tuan lolos di celah celana bocah. Tapi sekujur putih rebah longlai merampas pandangan murba jadi foto kaku.

Sejarah terbingkai sempurna alkisah pejuang dan mangsanya. Terlepas marah yang tak tertahan. Anak kecil, orang tua gugur di mulut senjata.

Rumah terbakar dan api marak nyalanya. Kampung Datu sepur merah kerana amukan puaka kelembai hauskan dendam darah.

Sayugia bermula percakapan senjata. Hingar-bingar medan yuda dan ngeri mengisi mimpi malam yang berasap.

Nasionalis Melayu dan algojo Inggeris bertempur seperti besok tiada lagi. Zaman berang, udara beringas menjengah hari-hari berlalu memberi suasana sia-sia.

Nisan bertaburan di tanah kuburan. Tapi tiada tangis mengiringi kerana di sini kemarau air mata hati sudah jenuh berduka.

Dua belas purnama, petualang mengkambus bumi tercinta mencari Tuan. Kompas berputar-putar tak keruan. Satu-satu hilang dalam semangat melawan kejenuhan perang.

Wajah suram kekalahan sudah melekat di mata. Tuan telah membangunkan revolutionaire di jiwa.

Menghimpun sura dari segenap pelosok mandala Bumi Sempurna. Menggelarnya Soldadu Dari Anak Satu Bangsa. Bangsa Sarawak sempurna.

Di meja rundingan berdarah, hanya dengus dan teriak. Korban jelata dek bersatu mati kerana tanah tumpah.

Bonda bumi tercinta menyambung nyali para syuhada merdeka. gugur untuk bangkit semula. Tiada titisan darah terakhir.

Akhirnya magis semangat merempuh roboh tembok kolonialis. Kuasa Melayu tak ada tolok tandingnya. Musuh berbondong menyerah dalam sisa-sisa bangkai bernyawa.

Union Jack jadi panji tak berguna. Seluruh dada kembang-kempis bangga. Kita telah merdeka. Kita telah merdeka. Kita telah merdeka.

Tingkap di kampung tiada lagi berpaku, pintu rumah menganga menyambut kemenangan. Proklamasi kebebasan 1950 Republik Sarawak Darulhana.

Persidangan Dewan Rakyat di Sibu ibunda tanah air. Dasar negara; bahasa jiwa bangsa, cita-cita penggerak nusa, negara dijulang nyawa.

Merdeka tanggal Disember tiga. Hari ini bendera dikibar megah di angkasaraya. Merah, kuning, putih dan bilah badik.

Segalanya dalam genggaman, sejarah luka kita tinggalkan. Terima kasih Tuan. Bapa Kemerdekaan Presiden Negara, Tuan Rosli Dhoby.

No comments: